Monday 10 September 2012

KEBAIKAN MADU KELULUT

Norlezah masuk hutan cari kelulut

Norlezah Baharom menunjukkan kotak kelulut yang telah mula mengeluarkan hasil.


MUNGKIN tidak ramai yang pernah mendengar tentang madu kelulut apa lagi melihat lebah kelulut mahupun merasai madunya.
Biasanya bila dikatakan madu, ia amat sinonim sekali dengan dengan madu lebah berbanding kelulut.
Sehingga kini banyak kajian hanya menjurus kepada lebah madu dalam Genus Apis seperti Apis melifera dan Apis dorsata yang menyengat.
Manakala lebah tidak menyengat atau lebih dikenali sebagai kelulut dalam genus trigona juga memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan selain menghasilkan madu.
Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.
Salah seorang pengusaha madu, Norlezah Baharom berkata, dia bermula mengusahakan lebah madu secara suka-suka pada tahun 1986 di Serdang Lama, Selangor.
"Ketika itu saya menjalankan usaha secara kecil-kecilan sehinggalah berhenti kerja pada tahun 1994," ujarnya membuka bicara berkongsi pengalaman lampau.
Norlezah berkongsi pengalamannya itu ketika ditemui di kawasan ternakan kelulut di Ibu pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang Selangor baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut dalam nada bersungguh-sungguh, Norlezah memberitahu dia membangunkan syarikat Sri Cerana untuk menternak dan memasarkan madu lebah Cerana.
Bagaimanapun pada tahun 1997, ternakan lebahnya diserang wabak penyakit selain kejadian jerebu menyebabkan lebah yang dipelihara hampir semuanya mati atau lari.
Justeru pada tahun 2005, Norlezah dengan khidmat nasihat daripada MARDI beralih kepada ternakan lebah kelulut.
"Ketika itu saya membangunkan sebuah syarikat lain, HNS Trigona bagi menternak dan memasarkan madu daripada tiga jenis lebah berlainan iaitu trigona, cerana dan melifera," katanya.
Buat masa ini Norlezah yang mempunyai ladang belimbing seluas 100 ekar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lancang, Pahang menternak kelulut di sana.
Norlezah menggunakan kelulut sebagai agen pendebungaan juga mendapati hasil buah belimbing semakin bertambah.
Ini dapat dibuktikan dengan melihat ladang ternakan kelulut MARDI yang ditanam dengan durian mengeluarkan hasil berterusan tanpa musim.
Ladang durian yang mempunyai koloni kelulut juga menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim.
Norlezah berkata, koloni lebah mudah lari dan diserang penyakit dibanding dengan kelulut yang tidak melarikan diri dan tidak menyengat.
Buat masa ini, dia mempunyai 50 kotak koloni kelulut di ladang belimbing sejak bulan Jun lalu.
"Sebenarnya sebelum mendapatkan khidmat nasihat pihak MARDI, kami masuk ke hutan mencari sarang kelulut.
"Kami akan menebang bahagian pokok yang mempunyai kelulut dan menyimpannya untuk dibiakkan," katanya.
Kini dengan khidmat nasihat pihak MARDI, dia meletakkannya dalam satu kotak yang boleh dituai setiap tujuh minggu.
Biasanya satu kotak akan menghasilkan satu kilogram (kg) madu bergantung kepada makanan yang diberikan kepada lebah.
Di dalam satu kotak terdapat madu, propolis dan bee bread (pollen).
Norlezah berkata, produk kelulut mendapat permintaan yang menggalakkan daripada farmasi.
Madu kelulut dibandingkan dengan madu lebah dikatakan mempunyai antioksidan yang tinggi manakala propolis pula dikatakan mempunyai antibiotik semulajadi.
Menyentuh mengenai rasa, Norlezah berkata, madu kelulut berasa agak masam berbanding madu lebah.
Jika lebah madu menyengat menyebabkan pengumpul madu perlukan pakaian yang khusus tetapi mengumpul madu kelulut lebih mudah.
"Kelulut tidak menyengat tetapi menggigit dan tidak berbisa.
"Biasanya hanya individu pertama yang membuka kotak akan digigit dan gigitan tidak memberikan kesan sampingan seperti lebah madu," katanya.
Norlezah berkata, semua kaedah dari menternak hingga kepada pengumpulan semuanya diperoleh daripada tunjuk ajar pihak MARDI.
Jika dulu, dia menggunakan picagari untuk mengambil madu kelulut tetapi dengan teknologi MARDI tugasnya lebih senang.
Selain pokok belimbing dan durian, lebah kelulut sesuai sebagai agen pendebungaan bagi longan, rambutan, mangga, ciku serta pelbagai buah-buahan lain.
Koloni kelulut yang mendapat makanan yang secukupnya daripada ladang akan mengeluarkan hasil madu yang lebih banyak.
Sehingga kini Norlezah memasarkan produknya di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), farmasi, pengedar di pasar malam dan pelanggan yang membeli terus daripadanya.
"Sambutan terhadap produk kelulut amat menggalakkan dan saya bercadang untuk menambah kotak koloni kelulut bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

No comments:

Post a Comment